Bantuan Prihatin Rakyat: Melindungi Rakyat Berpendapatan Rendah Sepanjang PKP 3.0

Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)

Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) adalah sebuah inisiatif bantuan tunai yang diperkenalkan untuk meringankan beban kos sara hidup golongan B40 dan M40. Sehingga kini, sejumlah RM9.1 bilion telah dan akan disalurkan kepada penerima sehingga Disember 2021.

Pandemik COVID-19 telah memaksa kita untuk menjalani kehidupan dengan cara cukup berbeza sehinggakan banyak negara terpaksa melaksanakan lockdown secara menyeluruh, yang mengakibatkan perniagaan ditutup, ramai orang bekerja dari rumah, serta keterbatasan pergerakan dan interaksi sosial.

Malaysia memulakan Perintah Kawalan Pergerakan ketiga (PKP 3.0) dari 1 sehingga 28 Jun 2021 dan kali ini, hanya perkhidmatan dan perniagaan penting yang dibenarkan untuk terus beroperasi. Situasi ini menyebabkan banyak rancangan dibatalkan, acara ditunda, sekolah ditutup dan kelangsungan perniagaan terancam.

Bagi Husna Hamad, pemilik gerai makanan yang berusia 28 tahun, sekatan yang dikenakan terhadap aktiviti sosial dan mobiliti semasa PKP memberi kesan besar kepada pendapatan hariannya, serta kemampuannya untuk menyara ahli keluarganya. Situasi ini sememangnya merupakan satu tempoh yang sangat mencabar buat ibu kepada dua orang ini kerana dialah satu-satunya pencari nafkah keluarga setelah kehilangan suaminya dalam kemalangan tiga tahun yang lalu. Kini, dia sentiasa dibelenggu masalah kewangan yang tidak mencukupi kerana terpaksa menanggung dua anak yang masing-masing berusia 4 dan 6 selain seorang lagi tanggungan iaitu adik perempuannya yang berusia 22 tahun. Adiknya itu turut membantu Husna menjalankan perniagaannya.

Mujurlah untuk Husna, Kerajaan telah memperkenalkan Bantuan PRIHATIN Nasional (BPN) pada tahun 2020 dan Bantuan PRIHATIN Rakyat (BPR) pada tahun 2021 untuk menyokong rakyat sepanjang PKP 1.0, PKP 2.0 dan terbaru, PKP 3.0. Malahan, ketika PKP 3.0 diumumkan, Kerajaan turut mengumumkan tambahan RM2.1 bilion untuk 8.4 juta penerima BPR.

Beban harian Husna sedikit sebanyak telah dikurangkan, berkat bantuan langsung BPN dan BPR tersebut. Husna tidak begitu kisah apabila dia tidak dapat berbelanja lebih untuk perayaan Hari Raya Aidilfitri kerana perjalanan merentas negeri dan antara daerah sememangnya tidak diizinkan sepanjang PKP kali ini. Oleh itu, Husna dan adiknya menggunakan bantuan langsung yang diterima pada awal Mei 2021 untuk menyelesaikan bil utiliti mereka dan menyimpan bahan-bahan untuk menyediakan makanan perayaan yang dipesan oleh jirannya untuk Hari Raya. Peningkatan peruntukan untuk BPR Fasa 2 juga membolehkan Husna menghidang menu istimewa buat anak-anaknya iaitu lemang dan rendang yang menjadi kegemaran mereka.

Insentif BPR yang diterima Keluarga Husna (Setakat 9 Mei 2021)

Buat pengetahuan semua, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) adalah usaha berterusan Kerajaan untuk mengeluarkan bantuan tunai secara langsung dengan lebih bersasar dengan kadar bantuan yang lebih tinggi untuk kategori B40. Peruntukan untuk rakyat yang layak disalurkan secara berfasa. Proses pengumpulan data dan pemeriksaan maklumat yang sedang berlangsung adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan untuk memastikan bantuan yang diberikan sampai kepada golongan yang disasarkan untuk BPR.

Pada 19 Mei 2021, sebanyak RM1.87 bilion telah disaluran semasa BPR Fasa 1 dan RM2.60 bilion lagi disalurkan selama Tahap 2. BPR Fasa 2 telah memberi manfaat kepada rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat termasuklah warga emas, keluarga, dan individu bujang.

Jumlah BPR yang Disalurkan untuk Manfaat Rakyat Berpendapatan Rendah (Setakat 19 Mei 2021)

Kumpulan Penerima Bantuan BPR Fasa 2

Sumber: Kementerian Kewangan Malaysia

KONGSI ARTIKEL

Artikel Berkaitan

Bagai menatang minyak yang penuh, kasih ibu sepanjang jalan. Itulah pepatah yang simbolik dengan kisah Pn Norlela Abdul Rahman, seorang jururawat yang juga petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Ibu & Anak Kuala Nerang.
Kita semua sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi serentak yang belum pernah terjadi sebelumnya. Virus yang memakan nyawa baru muncul, dan dengan senyap menyelinap ke serata dunia.
Perbelanjaan harian yang kecil sebenarnya memakan jumlah perbelanjaan bulanan seseorang yang cukup besar, terutamanya bagi pekerja biasa yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan dan tinggal di sebuah bandar.