Selepas lebih setahun menunggu, Pulau Langkawi kini kembali membuka pintunya mulai 16 September. Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia semestinya tidak sabar untuk mengunjungi pulau ini walaupun pernah mengunjunginya berkali-kali. Mesti ada faktor yang mendorong mereka untuk berbuat demikian, betul? Apa yang pasti, Langkawi adalah antara tempat kunjungan hot yang menjadi tumpuan pelancong.
Lokasi-lokasi insta-worthy di Langkawi
Antara lokasi terkenal adalah Dataran Lang yang dikenali dengan arca helang gergasi ikonik dan Underwater World Langkawi yang mempunyai lebih 4,000 spesis hidupan marin. Kedua-dua lokasi ini menjadi tempat kegemaran ramai untuk berselfie. Bagi penggemar flora dan fauna pula, Kilim Geoforest Park pasti dalam senarai ‘must-visit’, dan Pulau Payar dengan pemandangan indah dan aktiviti-aktiviti menarik seperti eagle-feeding, baby-shark feeding, snorkelling, dan banyak lagi tidak kurang hebatnya. Mesti best nak dengar kan?
Realiti pandemik
Tetapi realitinya kebanyakan tempat kunjungan seperti ini dan tempat-tempat penginapan seperti hotel dan resort terjejas sejak dua tahun yang lalu akibat pandemik COVID-19. Azami Hamdani, seorang pemilik hotel di Langkawi antara yang terkesan. Sebelum pandemik ini melanda, Azami tiada masalah untuk memastikan tempahan bilik sentiasa penuh. Simfoni Hotel sentiasa ada pelanggan sepanjang musim dan Azami tidak perlu bimbang tentang perniagaannya.
Mac 2020, pasti menjadi ingatan semua apabila wabak COVID-19 melanda negara.
Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan Azami tidak dapat dijalankan seperti kebiasaannnya disebabkan tiada pelawat yang berkunjung ke Langkawi. Tentunya sukar apabila perlu memastikan kelangsungan perniagaan dan pada masa yang sama menjaga kebajikan pekerja-pekerjanya; ini bukanlah tugas yang mudah. Berat mata memandang , berat lagi bahu yang memikul. Dengan kes COVID-19 yang kian meningkat pada ketika itu, Azami terpaksa memikirkan cara alternatif untuk membayar gaji pekerjanya yang juga sedang bertarung menyara keluarga mereka.
Kerajaan memberi semangat baru
Azami cuba mencari-cari jalan untuk mendapatkan bantuan kerajaan yang dikhususkan untuk perniagaan yang terjejas semasa pandemik. Antara semua inisiatif yang dipohonnya adalah bantuan kewangan daripada Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang telah membantu Simfoni Hotel untuk meneruskan operasi. Bantuan ini dimanfaatkan oleh Azami dengan sebaik-baiknya termasuklah menggunakan bantuan tersebut untuk membayar gaji pekerja-pekerjanya dan untuk terus menguruskan hotel.
Simfoni Hotel menerima keseluruhan bantuan kewangan sebanyak RM157,000 tetapi Azami hanya memanfaatkan sebanyak RM52,000 dari jumlah tersebut kerana ia sudah mencukupi untuk menampung apa yang perlu. Selebihnya telah beliau kembalikan semula kepada NCER. Azami percaya bahawa wang yang dikembalikan boleh dimanfaatkan oleh pemohon lain yang juga senasib dengan beliau (inilah semangat #KeluargaMalaysia!). Beliau berharap ada ramai pengusaha lain akan menghubungi NCER ataupun banyak lagi bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan untuk mereka yang terjejas akibat COVID-19 seperti yang ada dalam laman web Manfaat Belanjawan
Kini, Langkawi kembali menyambut kedatangan pelawat yang sudah lengkap dua dos vaksin, dengan SOP yang ketat. Azami berharap ramai lagi yang akan kembali mengunjungi pulau itu untuk menikmati keindahan Langkawi dan keselesaan Hotel Simfoni.
Banyak lagi tempat kunjungan untuk pelancong tempatan dan luar seperti Langkawi akan kembali beroperasi. Dengan norma baharu ini, kita sebagai pelancong kenalah biasakan diri demi keselamatan semua dan jangan terlalu gembira hingga mengabaikan saranan yang masih perlu dipatuhi dalam menempuh fasa endemik.
Dah cukup dua dos vaksin? Apa lagi, jom Langkawi!